June 02, 2020

Dunia di dalam sebuah rumah

Awal pagi, di saat anak-anak masih belum bangkit dari keenakan selimut dan bantal, macam biasa aku akan duduk bersendirian di meja makan menikmati sarapan ringan sambil termenung memikirkan perancangan hari ini dan juga tentang bagaimakan hari semalam telah dijalankan.

Segelas teh hijau yang bukan hijau warnanya, satu bancuhan minuman protein yang aku blend sekali dengan setengah biji avocado serta sesudu minyak omega 3-6-9. Sarapan aku tidak senikmat nasi lemak sambal kerang atau roti prata cicah kuah dal tapi ada satu keyakinan yang sudah bertahun-tahun bahawa sarapan seperti ini sahajalah yang sesuai untuk fizikal dan mental aku sehari-harian.

Aku renung jambakan bunga lili yang diberikan oleh Ariff; lelaki yang kini menemani perjalani hidup aku. Jambakan lili terletak elok di dalam pasu besar bewarna putih yang aku baru sahaja beli 3 hari yang lepas. Pandangan kubuang ke arah ruang tamu; sofa kecil 2 duduk, meja kopi kecil, TV 55 inchi, ditambah dengan kerusi rotan yang sepenuh masa menjadi perhiasan, hiasan dinding di belakangnya, pokok-pokok menghijau di kiri dan kanan ruang. 

Cukup semuanya. Pada dasarnya, tidak ada apa yang kurang. Ada tempat duduk, mesin untuk menonton, tempat tidur, tempat masak, tempat berhadas, tempat makan; semua cukup. Tapi dalam kecukupan itu, aku teringin nak ubahsuai pintu tingkap besar ini kepada design ala-ala Inggeris siap bingkai dan cermin berkotak-kotak. Pintunya aku mahu bertombol besi bersaduran warna kuning keemasan;

Di gerbang yang melorong ke bilik-bilik, aku nak pasang bingkai siap dengan pintu ala koboi. Aku juga inginkan kemasan dapur yang baru siap dengan quartz table top, ruang menyimpan yang praktikal, induction cooker, ruang membasuh baju yang cantik teratur. Aku nak buat wainscotting! Warna putih di bahagian bawah dinding dan cat kuning kulit telur di bahagian dinding di atasnya, 

Aku mahukan kemasan cahaya dari lampu yang serba baharu. Bukan chandelier, tapi mungkin design serupa spotlight yang modern dan sesuai dangan tatarias rumah. Untuk dinding yang berhadapan dapur aku ni, aku ingin ia ditampal dengan cermin gergasi yang besar dari bawah sampai ke atas.

Aku ingin bilik air yang cantik. Berlantai jubin yang bewarna biru gelap atau mungkin kelabu yang berkilau apabila terkena limpahan cahaya lampu. Sinki konkrit lengkap berkabinet dan dilengkapi dengan tab mandi yang sederhana besar, cukup untuk aku menghabiskan waktu bersendirian, berendam diteman muzik keroncong serta aroma minyak pati lavender dan kenanga. Keingin yang aku taruhkan bertahun-tahun ni tak pernah pudar walau sekejap. Tak pernah dilupakan dan sentiasa mekar di sudut hati yang memuatkan nafsu aku terhadap duniawi. Kalau nak cerita lagi, sampai Zuhur kejap lagi pun takkan habis.

Apakah setelah aku berjaya merealisasikan kemahuan-kemahuan aku tadi, angan-angan aku akan terhenti di situ? Mungkin aku ganti meja makan yang lebih besar dan mahal. Sofa kulit 3 tempat duduk. Jubin lantai baharu. Atau rumah baharu yang lebih besar, yang boleh aku tunjuk hari-hari di sosial media supaya orang-orang yang melihat menghidap "penyakit" yang sama seperti aku?


عَنْ عَطَاءٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

Dari ‘Atha` dia berkata; saya mendengar Ibnu Abbas RA berkata; saya mendengar Nabi SAW bersabda: “Sekiranya anak Adam memiliki harta sebanyak dua bukit, nescaya ia akan mengharapkan untuk mendapatkan bukit yang ketiga, dan tidaklah perut anak Adam itu dipenuhi melainkan dengan tanah, dan Allah menerima taubat siapa saja yang bertaubat.” (HR Bukhari No: 5956) Status: Hadis Sahih


Sesekali iman datang membentak minda sedar, tentang merasa cukup dengan apa adanya, tentang "SUDAH-SUDAHLAH NOE!", tentang betapa aku perlu mula menghias rumah Akhirat ku yang serba miskin dan hina itu. Ahhhh.. sesungguhnya memisahkan keinginan duniawi dan keperluan akhirat ada satu kepayahan yang hakiki.

Begitulah hakikatnya sifat semulajadi manusia yang tidak pernah puas dengan hartanya kecuali yang diberi taufik Allah. Sifat yang menghabiskan waktu untuk menghias hal duniawi sehingga mengabaikan urusan akhirat. Menghias rumah-rumah menjadi serba gah yang akhirnya ditinggalkan. Sibuk mencari harta kemewahan, pangkat dan kepuasan hati orang sekeliling sehingga mengabaikan ketaatan terhadap sang Pencipta. 

Semoga. Aku doakan, SEMOGA, apa yang kita miliki sewaktu hidup di dunia ini, apa yang kita kejar-kejarkan sangat sewaktu masih bernafas di muka bumi ni, tidak akan jadi penyebab yang membelit dan membakar kita di 'sana' nanti.



اَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ 









No comments:

Post a Comment